MB Pahang selesai jalani pembedahan di IJN
Bernama
Jun 7, 2024 17:30 MYT
Jun 7, 2024 17:30 MYT
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah selesai menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara hari ini.
Setiausaha Politik kepada Wan Rosdy, Mohd Farid Mohd Nor memaklumkan berkat doa dan solat hajat pelbagai pihak, pembedahan itu juga berjalan lancar.
"Menteri Besar (Wan Rosdy) kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan pasukan perubatan beliau bagi tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan.
Mohd Farid berkata pihak keluarga Wan Rosdy turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
"Ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pasukan Perubatan IJN dan semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan keafiatan Menteri Besar," katanya.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini bertitah supaya semua masjid di Pahang mengadakan solat hajat bagi mendoakan urusan rawatan Wan Rosdy berjalan lancar dan dipermudah.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata Wan Rosdy akan menerima rawatan di IJN bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan ditentukan doktor kelak.
-- BERNAMA