MB minta rakyat Johor terutama di pesisir pantai waspada susulan amaran air pasang besar
Bernama
Julai 14, 2022 21:43 MYT
Julai 14, 2022 21:43 MYT
JOHOR BAHRU: Rakyat Johor khususnya penduduk di sekitar kawasan pesisir pantai diminta lebih berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku susulan amaran fenomena air pasang besar.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata orang ramai yang berhasrat untuk beriadah di kawasan pantai dan nelayan turut dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan.
"Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar yang dijangka bermula hari ini hingga Ahad.
"Saya menyeru penduduk di pesisir pantai Johor lebih berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata orang ramai juga diminta sentiasa memantau keadaan cuaca semasa dan merujuk informasi agensi berkaitan sebelum memulakan aktiviti.
PHN menerusi hantaran di Twitter memaklumkan bahawa fenomena itu berlaku disebabkan dipengaruhi oleh daya tarikan graviti bulan dan matahari.
Justeru, penduduk terutama di sekitar pesisir pantai di seluruh negara disarankan berwaspada dengan fenomena itu.
-- BERNAMA
#rakyat johor
#air pasang
#pesisir pantai
#amaran
#Menteri Besar
#Pusat Hidrografi Nasional
#kawasan pantai
#onn hafiz ghazi