MB Kedah tawar Pulau Pinang beli air dari LRA Lubuk Buntar

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 8, 2024 07:30 MYT
Kerajaan Pulau Pinang ditawar oleh kerajaan Kedah untuk membeli air dari negeri Jelapang Padi itu sebagai penyelesaian masalah air di Nibong Tebal, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi. - Gambar fail Bernama
SUNGAI BAKAP: Kerajaan Pulau Pinang ditawar oleh kerajaan Kedah untuk membeli air dari negeri Jelapang Padi itu sebagai penyelesaian masalah air di Nibong Tebal.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah sedia menjual air dari loji rawatan air (LRA) Lubuk Buntar di Bandar Baharu, Kulim yang kedudukannya 16 Kilometer dari sempadan Kedah-Pulau Pinang.
Menurut Muhammad Sanusi, tawaran berkenaan dibuat selepas mendapati penduduk di kawasan Nibong Tebal dan Sungai Bakap masih berdepan dengan masalah air sejak lebih enam tahun lepas.
“Saya nak umum malam ini, Yang Berhormat Tuan Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang) kalau tidak ada air di Nibong Tebal saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar… kalau nak (mahu) beli saya jual… saya (Kedah) bukan tidak ada air bersih… ada.
“(Tetapi) kalau nak beli saya (Kedah) jual, di LRA Lubuk Buntar ada lebihan air bersih di situ dengan suci hati tapi kena beli tak boleh ambil free (percuma) macam Sungai Muda,” kata beliau.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal, malam tadi.
Kata beliau, Sungai Muda membekalkan Pulau Pinang sejumlah besar air, kira-kira 1,440 juta liter sehari (MLD), manakala Kedah hanya menggunakan kira-kira 770 juta liter sehari (MLD) iaitu separuh daripada apa yang digunakan oleh Pulau Pinang.
Jelasnya, perbezaan ketara ini menimbulkan persoalan mengapa Pulau Pinang khususnya di Sungai Bakap menghadapi kekurangan air.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pimpinan tertinggi parti-parti komponen PN.
#kerajaan Kedah #kerajaan pulau pinang #Kedah jual air #Muhammad Sanusi Md Nor
;