'MB Kedah, cukuplah bersandiwara di Facebook, Twitter' - Saravanan

Umavathi Ramayah
Januari 23, 2021 20:04 MYT
Saravanan (kanan) berharap Muhammad Sanusi akan mendapat teladan daripada kerajaan negeri lain yang mengusahakan pakej pemulihan khas, tambahan kepada pelan pemulihan kerajaan persekutuan demi membantu rakyat yang terkesan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya tidak mengejar populariti dengan tindakan dan kenyataan yang sensitif.
Sebaliknya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menggesa beliau agar lebih peka kepada keperluan rakyat di negeri itu.
"Cukuplah MB (Menteri Besar) Kedah menuding jari demi menutup kelemahan diri sendiri. Cukuplah juga sandiwara anda di Facebook dan Twitter," kata beliau dalam hantaran yang dikongsi di Facebook di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Muhammad Sanusi di Facebooknya baru-baru ini yang menasihatkan Saravanan untuk menumpukan kepada kerja-kerja kementerian sahaja.
Saravanan dengan sinis turut berkata, yang beliau akan cuba memperbaiki prestasinya pada masa depan sekiranya terdapat kepincangan dalam cara menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Terima kasih kepada MB Kedah di atas saranan beliau. Untuk pengetahuan, saya sedang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Manusia dengan penuh komited, melaksanakan amanat yang dipertanggungjawabkan tanpa sesekalipun membelakangkan kebajikan dan aspirasi tenaga kerja Malaysia.
"Walau bagaimanapun, saya hairan kenapa seorang MB tidak tahu mengenai pelbagai inisiatif dan strategi yang terus dirancang dan dilaksanakan dalam menyantuni keperluan sektor tenaga kerja dan kelangsungan ekonomi negara.
"Baik angkat sahaja telefon, hubungi Timbalan Menteri Sumber Manusia yang mewakili Pas dari negeri Kedah sendiri untuk mengetahui secara terperinci akan usaha dan inisiatif Kementerian Sumber Manusia," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Saravanan turut berharap Muhammad Sanusi akan mendapat teladan daripada kerajaan negeri lain yang mengusahakan pakej pemulihan khas, tambahan kepada pelan pemulihan kerajaan persekutuan demi membantu rakyat yang terkesan.
"Saya juga berharap menteri besar akan mengambil tindakan terhadap tuduhan kilang dan industri haram yang muncul bagai cendawan di negeri Kedah dan membantu usaha Kementerian Sumber Manusia," ujarnya.
Menurut beliau lagi, segala inisiatif dan tindakan Kementerian Sumber Manusia dimaklumkan kepada rakyat secara berterusan.
Namun demikian katanya, rakyat negeri Kedah pula dikejutkan secara beterusan dengan kenyataan sensasi menteri besar seperti penemuan tanah nadir RM43 trilion, perobohan kuil dan pembatalan cuti Thaipusam.
"Sebagai pemimpin sebuah negeri, santunilah aspirasi dan kebajikan rakyat anda. Cukuplah sandiwara politik yang memupuk kebencian dan mengganggu keharmonian," tambahnya.
Dalam hantaran yang sama Saravanan turut berkongsi beberapa pautan mengenai inisiatif Kementerian Sumber Manusia dalam menangani impak COVID-19 untuk makluman Muhammad Sanusi.

Menteri Sumber Manusia patut jaga bab kerja, dia kalut nak cuti... guna letterhead kementerian buat kenyataan politik parti dia... pic.twitter.com/yFXqimT0I0

— Muhammad Sanusi (@SanusiMNor) January 22, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Thaipusam #Menteri Besar Kedah #Kementerian Sumber Manusia #Saravanan #MIC #PAS #Muhammad Sanusi #Muhammad Sanusi Md Nor
;