MB Kedah, Ahmad Bashah stabil namun agak lemah - Setiausaha Politik
Bernama
Jun 4, 2016 23:45 MYT
Jun 4, 2016 23:45 MYT
Keadaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dikejarkan ke Kedah Medical Centre (KMC) malam ini selepas pitam kini stabil, namun agak lemah menurut Setiausaha Politiknya Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin.
Beliau berkata, Menteri Besar hanya mengalami sedikit keletihan dan pening sebelum pitam dan dikejarkan ke pusat perubatan itu.
"Beliau tidak pengsan dan jatuh, cuma pitam sedikit. Keadaan beliau kini stabil dan masih dalam pemantauan pihak hospital," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan KMC.
Ahmad Bashah sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di Hotel Grand Alora pukul 7 malam tadi, dan dikejarkan ke hospital kira-kira 7.15 malam.
Dalam pada itu, Shaiful berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din, esok.