MB Johor, TPM Fadillah bincang isu sumber bekalan air negeri

Bernama
Julai 19, 2024 08:48 MYT
Dalam pertemuan itu, turut dibincangkan ialah projek sumber dan bekalan air negeri, cadangan baharu projek sumber air, dan model pembekalan air ke pusat data. - Facebook On Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan isu sumber bekalan air dan projek-projek berkaitan di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dalam pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur itu, turut dibincangkan ialah projek sumber dan bekalan air negeri, cadangan baharu projek sumber air, dan model pembekalan air ke pusat data.
"Kerajaan negeri dengan sokongan kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik, komersial serta kegunaan pelbagai industri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata dengan mengambil kira pembangunan pesat yang bakal berlaku di Johor, selain wujudnya projek berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pihaknya yakin permintaan terhadap bekalan air juga pasti akan meningkat.
Justeru, menurut beliau, pelbagai usaha sedang dirangka dengan teliti untuk menambah kapasiti bekalan air mengikut keperluan semasa dengan perancangan jangka sederhana dan panjang.
"Semua ini demi memastikan kelestarian dan kesejahteraan rakyat Johor akan terus terbela dan terpelihara. Besar harapan kerajaan negeri agar cadangan yang dibentangkan ini diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.
"Semoga segala usaha ini membawa manfaat yang besar serta kebaikan berkekalan buat semua pihak terutamanya rakyat Johor," kata Onn Hafiz.
Pertemuan itu turut dihadiri pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Datuk Shahrol Anuwar Sarman.
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #Fadillah Yusof #sumber bekalan air #pusat data #Johor