MB Johor, Exco sumbang 3 bulan gaji kepada Tabung Bencana Negeri
Siti Nur Aqilla Omar
Jun 3, 2021 16:12 MYT
Jun 3, 2021 16:12 MYT
JOHOR BAHRU: Barisan kerajaan negeri Johor bersetuju untuk menyumbangkan tiga bulan gaji ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan semalam.
Katanya sumbangan bagi gaji bulan Jun hingga Ogos ini akan digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan tahap kesihatan awam negeri ini dalam mendepani dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
"Untuk makluman, sejak ditubuhkan pada tahun lalu ekoran penularan COVID-19, Tabung Bencana Negeri Johor sudah menerima sebanyak RM44.83 juta sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak.
"Sehingga kini, sebanyak RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat.
"Bagi menambah dana dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam di negeri ini, saya ingin mengajak semua ahli Yang Berhormat di Johor untuk bersama-sama menyumbang sebahagian daripada elaun yang diterima masing-masing ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hasni, pihaknya juga menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak yang memerlukan.
"Saya juga menasihati rakyat Johor supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk melindungi sesama kita dan kita mesti menang dalam peperangan melawan COVID-19 ini," katanya lagi.