MB Johor bidas dakwaan pembangkang pengagihan beras tidak telus

Bernama
Mei 16, 2022 04:40 MYT
Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan pembangkang yang kononnya proses pengagihan kampit beras tidak dijalankan dengan telus dan berkesan. - Bernama
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan pembangkang yang kononnya proses pengagihan kampit beras seberat 10 kilogram (kg) oleh kerajaan negeri kepada rakyat Johor baru-baru ini, tidak dijalankan dengan telus dan berkesan.
Sebaliknya, beliau berkata proses penyerahan bantuan beras berkenaan kepada 903,000 ketua isi rumah di seluruh pelosok Johor akan memakan masa.
"Dan sasaran kita adalah semua penerima akan menerima sekampit beras sebelum 31 Mei 2022.
"Sehingga semalam (15 Mei 2022), setiap 10 kilogram beras telah diagihkan kepada 344,197 penerima. Semuanya mengikut jadual setakat ini," kata beliau menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Isnin.
Onn Hafiz berkata objektif mengagihkan beras tersebut adalah sebagai tanda kasih kerajaan untuk membantu Bangsa Johor berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup dan merupakan sumbangan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
"Sebab itu, adalah amat mendukacitakan apabila bantuan ini dipolitikkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menangguk di air yang keruh.
"Cukup-cukuplah menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. Stop the hate politics! We are trying our best to help the rakyat (hentikan politik kebencian! Kita sedang berusaha dengan cara terbaik untuk membantu rakyat)," tambah Onn Hafiz lagi.
Menteri Besar Johor itu berkata kerja-kerja pengagihan bantuan beras sedang dan akan terus diselaraskan oleh kerajaan negeri serta dibantu pelbagai pihak lain.
Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Johor Liew Chin Tong mengenai ketelusan pengagihan bantuan beras berkenaan, semalam
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #kampit beras #pengagihan kampit beras #penyerahan bantuan beras
;