MB Johor berterima kasih bantuan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 4, 2023 02:45 MYT
Onn Hafiz melawat PPS SKJC Sulong di Parit Sulong semalam. - Foto Facebook Onn Hafiz Ghazi
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor berterima kasih atas peruntukan segera oleh Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu yang berhadapan antara bencana banjir terburuk dalam sejarah.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.
"Syukur Alhamdulillah, sewaktu lawatan saya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, saya menerima perkhabaran gembira bahawa Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir, serta keperluan lain yang mendesak.
"Terima kasih saya ucapkan.
"Kerajaan negeri juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari kerana sudi menggerakkan bantuan segera kepada Johor.
"Semoga usaha yang diambil kerajaan negeri dan persekutuan, dibantu agensi-agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI
Beliau turut mendoakan agar rakyat Johor terus cekal dalam menghadapi ujian ini dan dapat melalui tempoh yang mencabar itu.
Setakat 10 pagi tadi, mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada lebih 37,000 mangsa yang dipindahkan ke 253 PPS dengan semua 10 daerah terjejas akibat bencana alam itu.
#onn hafiz ghazi #Johor #banjir #peruntukan