MB Inc nafi jual tanah Lapangan Terbang Taiping

Abd Razak Mohd Ali
Mei 1, 2019 22:30 MYT
Ahmad Faizal telah membatalkan kelulusan rancangan pembangunan bercampur di tapak Lapangan Terbang Taiping pada 16 Januari lalu. - Gambar fail
Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menafikan laporan sebuah portal bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan tapak bersejarah Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju swasta untuk pembangunan bercampur.
Menurut kenyataan Unit Korporat MB Inc hari ini, pentadbiran terdahulu telah meluluskan tanah seluas 10 hektar di Lapangan Terbang Taiping di Tekah kepada pihak pengurusan MB Inc sebelum ini bagi tujuan pembangunan dengan kerjasama pemaju swasta.
Katanya, cadangan pembangunan bercampur itu telah diluluskan secara prinsipal oleh pentadbiran terdahulu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 28 Mac 2018.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah membatalkan kelulusan berkenaan pada 16 Januari lalu.
“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada pengurusan baharu MB Inc oleh Pengarah Tanah dan Galian Perak melalui surat bertarikh 17 Januari 2019.
“Justeru, MB Inc ingin menjelaskan dakwaan syarikat ini akan menyerahkan tanah Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju seperti yang dilaporkan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
#Ahmad Faizal Azumu #kerajaan negeri #Lapangan Terbang Taiping #laporan portal #MB Inc #pemaju swasta #pembangunan bercampur #Perbadanan Menteri Besar Perak #Taiping #tanah
;