MB bentang visi, misi Johor pada Majlis Amanat Selasa ini

Bernama
Jun 12, 2022 03:30 MYT
Majlis Amanat Menteri Besar pada Selasa akan dihadiri penjawat awam negeri dan Persekutuan. - Foto Facebook/OnnHafiz
ISKANDAR PUTERI: Menjelang 100 hari pentadbiran Menteri Besar Johor tidak lama lagi, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan membentangkan visi dan misi Johor bagi tempoh lima tahun akan datang pada satu majlis amanat di sini, Selasa ini.
Beliau berkata visi dan misi itu antara lain akan menetapkan hala tuju komprehensif merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dasar-dasar dalam aspek pentadbiran, sosial dan ekonomi negeri di bawah kerajaan Johor yang diterajui Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh mandat besar apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lepas.
Memberikan bayangan antara inti pati amanat itu, Onn Hafiz menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada perkara asas yang penting kepada rakyat seperti penyediaan infrastruktur dan prasarana seperti jalan raya, mengatasi banjir, hal-hal berkaitan tanah, kemudahan kesihatan, meningkatkan peluang pekerjaan, penambahbaikan polisi kerajaan sedia ada serta membina ekonomi Johor lebih berdaya saing.
"Itu kena tunggu 14 Jun lah, ia (amanat itu) saya tengok semua penting. Apa yang saya hendak cakap itu semua penting dan saya fikir ramai yang bertanya, ke mana saya hendak bawa negeri yang kita sayangi ini pergi dan saya berhasrat untuk menjawab soalan itu pada 14 Jun.
"(Dan) saya tahu bahawa ia sangat penting kerana sama ada hala tuju atau visi ini dapat dilaksanakan atau pun tidak, ia banyak bergantung kepada komitmen dan kebersamaan mereka (penjawat awam) untuk menjayakan agenda-agenda yang tersebut," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama.
Majlis Amanat Menteri Besar pada Selasa akan dihadiri penjawat awam negeri dan Persekutuan.
Dalam wawancara julung kali itu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Machap turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan barisan kepimpinan terdahulu atas pembentukan asas kukuh dan hala tuju jelas yang disediakan bagi Johor.
Berkongsi perasaan rendah hatinya kerana tidak pernah menyangka akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19, Onn Hafiz bekata beliau menerima pelantikan itu dengan lapang dada dan berazam berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat negeri ini.
"Pertamanya, saya tidak pernah menyangka akan menjadi Menteri Besar namun Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar ke-18, telah menetapkan asas yang sangat baik dan banyak yang saya pelajari daripada beliau semasa saya menjadi Exco. Terdapat hala tuju yang jelas dari segi apa yang perlu dibuat untuk negeri Johor.
"Saya sangat berterima kasih atas kestabilan dan hala tuju yang jelas yang ditunjukkan oleh Datuk Hasni semasa beliau menjadi Menteri Besar," katanya yang dilantik memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan ketika pentadbiran Hasni.
Onn Hafiz, yang pernah berkhidmat selama 12 tahun dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein termasuk menyandang jawatan Setiausaha Politik kepada Hishammuddin berkata pengalaman dan ilmu serta pendedahan di peringkat Persekutuan itu turut membantu dirinya melaksanakan tugas dan menggalas tanggungjawab jawatan nombor satu kerajaan Johor.
"Saya lihat macam mana menteri saya pada masa itu berjumpa dengan delegasi asing, jadi banyak saya belajar melalui jawatan tersebut dan saya juga didedahkan kepada menteri-menteri lain. Jadi, ia pengalaman cukup baik dan banyak mematangkan saya," katanya.
Dalam nada besungguh-sungguh dan menegaskan untuk menumpukan perhatiannya sebagai 'nakhoda' yang mengemudi kerajaan Johor, Onn Hafiz berkata banyak kekuatan Johor yang boleh ditonjolkan antaranya kedudukan geografi negeri strategik yang berjiran dengan Singapura serta bersebelahan dua perairan laut utama iaitu Laut China Selatan dan Selat Melaka, sekali gus boleh memacu pertumbuhan pesat tiga pelabuhannya.
"Dari segi kelebihan tu banyak. Sekarang, bagaimana saya memanfaatkannya, jadi sekali lagi kembali kepada asas... perkara seperti memudahkan (prosedur) perniagaan, kita perlu mengurangkan kerenah dan perkara lain yang patutnya boleh selesai, kalau dulu mengambil masa enam bulan, sekarang mengambil masa sebulan.
"Ini perkara yang sedang dalam perancangan. Saya tidak boleh memberitahu dahulu apa lagi, tetapi kita sedang melihat kepada urusan pentadbiran untuk menjadikan Johor yang cekap. Bila Johor cekap, orang jadi mudah berniaga dan kita mahukan imej itu untuk Johor. Saya nak menjadikan Johor selamat," katanya.
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #visi dan misi #Majlis Amanat #Barisan Nasional