Maybank sumbang RM14 juta naik taraf dua hospital COVID-19
Najib Aroff
Julai 18, 2021 12:40 MYT
Julai 18, 2021 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM14 juta akan disalurkan bagi meningkatkan kapasiti dua hospital awam utama hasil kerjasama Mercy Malaysia dan Maybank.
Sumbangan disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital COVID-19 Mercy Malaysia, bagi menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), bermula minggu keempat bulan ini.
“Memandangkan keperluan yang sangat mendesak di kedua-dua hospital besar ini, kami berasa amat penting agar semua usaha yang dilakukan harus meringankan keperluan kritikal mereka.
"Ia bagi mendapatkan sokongan perubatan dan menawarkan kelegaan kepada pesakit dan barisan hadapan,” kata Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dalam kenyataan bersama.
Tambahnya, program ini akan dijalankan dalam jangka masa 20 minggu melalui pendekatan tiga serangkai meliputi penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan, mobilisasi sumber manusia dan latihan teknikal, termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.
“Ini akan membolehkan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 Kategori 4 dan 5 meningkat sebanyak 6 unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit COVID-19, masing-masing di dua hospital ini.
“Pada masa sama, sejumlah 40 pekerja kesihatan dan staf sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL, untuk berkhidmat di wad COVID-19 dan wad biasa.
"Ini membolehkan Jabatan Pesakit Luar hospital dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit," jelas beliau.
Selain itu, bantuan turut merangkumi hampir 4,000 peralatan perubatan dan sokongan seperti alat ujian tekanan darah, mesin ECG dan jantung, meter aliran oksigen, alat kawalan ritma jantung (defibrillator), ventilator, pemekat oksigen, alatan penting untuk rawatan kritikal dan katil ICU.
Zamzamzairani berkata, memandangkan terdapat cabaran kapasiti yang sangat besar di HTAR, Maybank juga akan mewujudkan hospital sementara di sana bersama pemberian latihan teknikal kepada kakitangan, untuk meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit COVID-19.
Ini akan membantu mengurangkan beban di ICU dan wad am, dengan pengurusan aktif pesakit Kategori 3.
Sementara itu Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata, sumbangan terbaharu itu mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak yang terjalin sejak 2014.
"Momentum tindak balas COVID-19 untuk Malaysia telah mencapai puncaknya. Oleh itu, ia memerlukan persiapaan strategik, tindakan budi bicara dan penglibatan yang mampan," katanya.
Maybank pada 2020 menyumbang lebih RM20 juta untuk menyokong pelbagai usaha bantuan COVID-19 seperti penyediaan peralatan perubatan dan perlindungan diri ke hospital, bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik, penyediaan stesen basuh untuk komuniti terpinggir dan bekalan peralatan penting di kemudahan kesihatan untuk tujuan pencegahan dan kawalan jangkitan.
#Maybank
#COVID-19
#HKL
#HTAR
#mercy malaysia
#ICU
#KKM
#Klang
#unit rawatan rapi
#jangkitan
#kesihatan mental
#Ahmad Faizal Perdaus
#hospital sementara
#latihan teknikal
#Zamzamzairani Mohd Isa
#kritikal