Maybank Islamic dengan kerjasama CreateWills lancar platform digital lengkap urus harta pusaka
Israr Khalid
Ogos 4, 2023 21:04 MYT
Ogos 4, 2023 21:04 MYT
KUALA LUMPUR:
Dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat anda boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.
Benar - dengan EzyWasiat, perkhidmatan penulisan wasiat daripada Maybank Islamic Berhad dengan kerjasama syarikat teknologi kewangan (fintech) CreateWills Sdn Bhd, membolehkan pelanggan merancang wasiat dengan lebih cekap dan teratur, berlandaskan syariah dan undang-undang faraid secara atas talian.
Pelanggan dibantu secara langsung oleh Penasihat Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah atau Pengurus Hubungan Maybank dengan menggabungkan algoritma faraid bagi memudahkan proses penulisan wasiat.
Wasiat yang boleh disiapkan dalam 30 minit ini hanya memerlukan maklumat asas pewasiat sahaja seperti pelantikan wali, senarai aset dan liabiliti, senarai lengkap benefisiari serta penjaga / pemegang amanah bagi anak bawah umur 18 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank itu untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.
"Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia.
“Berbekalkan jalinan perkongsian pintar, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya," ujar beliau.
Platform ini diperkenalkan tepat pada masanya dalam keadaan harta pusaka beku orang Islam di Malaysia yang semakin meningkat akibat tertangguh atau tidak dituntut. Antara alasan hal ini terjadi adalah kerana kerumitan proses tuntutan pusaka yang memakan masa yang panjang dengan kos pentadbiran pusaka yang tinggi.
Menurut Ketua Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah dan Pembangunan Perniagaan Maybank Islamic Ahmad Shareza Abdul Rahman, misi bank tersebut adalah memperkasakan pelanggan untuk merancang masa hadapan mereka secara efisien, di samping memastikan niat mereka untuk mematuhi keperluan Islam dapat dipenuhi dengan mudah.
"Dengan EzyWasiat, umat Islam dapat memanfaatkan perkhidmatan penulisan wasiat khusus untuk mereka yang menitikberatkan keperluan syarak dan perancangan masa hadapan demi orang yang tersayang - dalam erti kata lain, kami membantu anda untuk merealisasikan perancangan harta dari Niat ke Wasiat.”
"Dengan proses penulisan wasiat yang dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit dan struktur harga yang berpatutan, kami ingin memastikan agar tiada sesiapapun yang terkecuali daripada bantuan guaman perancangan harta yang berkualiti tinggi.”
EzyWasiat merupakan salah satu tawaran baharu dalam penyelesaian pengurusan harta patuh syariah oleh Maybank Islamic yang bersifat holistik, merangkumi lima aspek utama pengurusan kekayaan iaitu penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai EzyWasiat, layari https://maybank.my/ezywasiat atau e-mel wealthdistribution@maybank.com.