Mayat warga Nepal terjatuh di Teluk Tongkang ditemukan terdampar di pantai
Bernama
Februari 14, 2024 14:41 MYT
Februari 14, 2024 14:41 MYT
KUANTAN: Mayat seorang warga Nepal yang dilaporkan terjatuh ketika sedang membuat panggilan video di kawasan berbatu di Teluk Tongkang, di sini ditemukan terdampar di tepi pantai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat Ganesh Rana, 22, di Pantai Sepat, di sini pada kira-kira 8.30 pagi tadi.
"Mangsa ditemukan terdampar di pesisir pantai oleh orang awam dengan jarak kira-kira 15 kilometer dari lokasi dia dikatakan terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bernama sebelum ini melaporkan, mangsa yang juga seorang pekerja kilang di sini, dipercayai terjatuh ketika sedang membuat panggilan video dengan kakaknya semasa berkunjung ke Teluk Tongkang bersama rakan-rakannya, Isnin lepas.
Ketika kejadian, rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal kerana Ganesh dibawa arus deras.
-- BERNAMA