Mayat warga Nepal ditemui dengan kesan kelar di pergelangan tangan
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 14, 2022 09:10 MYT
Oktober 14, 2022 09:10 MYT
IPOH: Mayat seorang lelaki warganegara Nepal ditemui dengan kesan kelar di pergelangan tangan di atas bumbung di Kawasan Perindustrian Kinta Jaya, di sini, malam tadi.
Polis percaya lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu membunuh diri, sementara sebilah pisau turut ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari mayatnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, siasatan awal menjumpai tompokan darah di atas katil dan lantai sebelah katil di bilik mangsa, diikuti titisan darah dari lantai bilik ke ruang tamu, seterusnya ke bilik rakan serumahnya.
Mohd Yusri berkata, si mati dijumpai dalam keadaan terbaring di atas bumbung luar bilik rakan serumahnya, tanpa sebarang kesan pergelutan dalam rumah tersebut.
Katanya, tempat kejadian merupakan sebuah gudang menyimpan peralatan proses ayam serta ayam daging untuk dijual.
Tingkat satu premis itu dijadikan sebagai asrama tempat tinggal dua pekerja warganegara asing.
Proses bedah siasat dijadualkan pagi ini untuk mengenal pasti punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).