Mayat warga Mesir jatuh balkoni di Langkawi ditemui
Astro Awani
September 22, 2016 21:25 MYT
September 22, 2016 21:25 MYT
Mayat seorang lelaki warga Mesir yang lemas selepas terjatuh dari balkoni bilik hotel di Langkawi sejak Isnin lalu, ditemui pada pukul 1.30 petang tadi.
Mayat Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid, 27, ditemui terapung oleh pasukan polis marin yang melakukan rondaan Op Gelora di perairan Pulau Rebak pada hari keempat operasi pencarian.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi, DSP Rodzi Abu Hassan memaklumkan, mangsa ditemui sekitar 6.5 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
Operasi pencarian turut membabitkan agensi penguatkuasaan maritim (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mayat mangsa ditemui kira-kira tujuh jam selepas operasi pencarian disambung semula pada sebelah pagi.
Ia kemudiannya dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.
Isnin lalu, seorang lelaki Mesir dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari balkoni bilik hotel penginapannya.
Isteri mangsa, Sohila Mohamed Hassan Elshier, 27, yang menyedari kejadian itu bertindak membuat laporan kepada kakitangan hotel terbabit.
Seorang saksi yang juga pekerja di restoran hotel berkenaan terlihat mangsa berpaut pada lantai simen bahagian luar balkoni dalam usaha cuba untuk naik semula tetapi gagal lalu terjatuh ke dalam laut.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 petang, hari kejadian.