Mayat warga Jepun dijumpai di Taman Desa
Bernama
Mac 18, 2016 09:30 MYT
Mac 18, 2016 09:30 MYT
Seorang lelaki warga Jepun ditemui mati dalam keadaan terlentang di Kondominium Danau Murni, Taman Desa di sini, malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Zulkifli Ramli berkata mangsa dikenali sebagai Tsutomu Wirata, 60, dan dikatakan sudah lama tinggal di rumah berkenaan.
"Anggota kami menerima panggilan pada 9.16 malam untuk membantu memotong kunci pada pagar rumah berkenaan.
"Kami mengambil masa seminit membuka kunci pintu menggunakan alat pemotong hidraulik dan hasil pemeriksaan polis menemui mangsa tidak berpakaian di bilik hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Zulkifli berkata mangsa diserahkan kepada pasukan forensik polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.