Mayat warga Indonesia ditemukan lemas dalam kolam

Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2022 16:01 MYT
Mayat mangsa berjaya ditemukan tidak jauh dari lokasi dilaporkan terjatuh pada kedalaman tiga meter pada jam 10.38 pagi tadi. - Foto JBPM
SUNGAI PETANI: Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam di belakang sebuah kuil dekat Bedong, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan melalui Sistem Mers 999 pada jam 3.44 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi.
“Tindakan awal Komander Operasi mengarahkan melakukan pencarian di permukaan (surface searching) di lokasi.
“Sebaik pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sampai, dua penyelam telah membuat selaman di lokasi berhampiran tempat mangsa jatuh.
“Mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari lokasi dilaporkan terjatuh pada kedalaman tiga meter pada jam 10.38 pagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, identiti mangsa hanya dikenali Yanto berusia 33 tahun merupakan warganegara Indonesia dan bekerja di kawasan ladang berhampiran.
Mayat kemudiannya di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk bedah siasat.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#Lelaki lemas #warga Indonesia #Sungai Petani #Balai Bomba dan Penyelamat
;