Mayat warga emas OKU berlalat ditemui
Azyyati Ahmad
September 3, 2017 18:10 MYT
September 3, 2017 18:10 MYT
Mayat seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai telah meninggal dunia lebih dua hari ditemui di dalam rumahnya di Taman Ayer Keroh Heights, di sini tengahari hari ini.
Kematian mangsa yang dikenali sebagai M. Elangavan, 61, itu hanya disedari oleh jirannya yang pelik selepas tidak melihat kelibat warga emas yang tinggal berseorangan di kediaman berkenaan sejak seminggu lalu sebelum bertindak menghubungi ahli keluarganya.
Menurut anak mangsa, E.Yogeshwary, 24, ibunya dihubungi seorang jiran yang memaklumkan bahawa kerusi roda dan tongkat yang sering digunakan warga emas itu berada di luar rumah sejak seminggu lalu.
Dia dan ibunya M.Saroja, 57, sudah tidak tinggal sebumbung dengan bapa mereka sejak tujuh tahun lalu.
Ketika menjengah warga emas itu, dua beranak itu mendapati terdapat banyak lalat di kediaman berkenaan selepas membuka tingkap di bahagian dapur.
Mereka bagaimanapun gagal membuka pintu utama dan terpaksa menghubungi pihak polis dan bomba.
Apabila pintu berkenaan berjaya dibuka dan mayat mangsa yang telah dipenuhi lalat dan berbau busuk ditemui di atas lantai bilik tidur utama.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat warga emas tersebut.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan mangsa, justeru kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Warga emas berkenaan kudung sebelah kaki selepas dipotong akibat penyakit kencing manis sejak 2010 lalu.