Mayat warga emas Kanada ditemui dalam keadaan berulat

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 10, 2019 15:28 MYT
Mangsa yang menyewa bersendirian di apartment itu sejak Julai tahun lalu ditemui oleh pemilik apartmen kira-kira jam 6.50 petang Sabtu. - Foto PDRM
Kebimbangan seorang anak apabila tidak menerima perkhabaran dari bapanya sejak empat hari lepas akhirnya terjawab apabila bapanya itu ditemukan meninggal dunia.
Mayat Bieber Robert Donald, 70, warga Kanada ditemui dalam keadaan sudah berulat dan berbau di dalam bilik air sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Mangsa yang menyewa bersendirian di apartment itu sejak Julai tahun lalu ditemui oleh pemilik apartmen kira-kira jam 6.50 petang Sabtu.
Difahamkan, lelaki tersebut mati sejak beberapa hari lalu selepas emel yang dikirimkan oleh anaknya yang menetap di Singapura tidak berbalas dalam tempoh empat hari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemeriksaan mendapati mayat tersebut dalam keadaan berbau dan berulat pada bahagian muka.
"Pemeriksaan telah dijalankan ke atas badannya dan persekitaran di dalam rumah, namun tidak menjumpai sebarang tanda berlakunya perbuatan jenayah.
"Turut dijumpai ialah beberapa ubat atas nama si mati dan diserahkan kepada pihak hospital bagi rujukan," katanya.
Menurut Che Zaimani lagi, hasil bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana sakit jantung.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut .
#Batu Feringghi #Batu Ferringhi #berulat #Bieber Robert Donald #Hospital Pulau Pinang #mati sendirian #sakit jantung #sendirian #warga Kanada
;