Mayat warga emas ditemui di tepi jalan dengan kesan tetakan
Astro Awani
Julai 26, 2018 21:59 MYT
Julai 26, 2018 21:59 MYT
Orang awam yang melalui kawasan Batu 9, Kampung Lot M di sini gempar apabila menemui mayat seorang lelaki warga emas dengan kesan tetakan, tergelimpang di tepi jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia dalam lingkungan 60-an, ditemui dengan beberapa kesan luka di bahagian muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian hasil makluman orang awam.
"Siasatan awal ke atas mayat tersebut mendapati adanya tiga kesan luka dipercayai akibat tetakan.
"Pemeriksaan ke atas dokumen pada badan mangsa hanya menemui nama yang tertera pada tiga surat pajak iaitu Betta Bin Lamba dan Lamba Bin Pattawe. Justeru, polis masih sedang mengenal pasti identiti mangsa yang sebenarnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya siasatan lanjut di tempat kejadian turut menemui serpihan jam tangan disyaki milik mangsa dan sebuah beg pakaian.
"Siasatan terhadap beberapa saksi yang tinggal berhampiran lokasi mayat itu dijumpai, bagaimanapun menyatakan bahawa mereka tidak melihat kejadian pergaduhan dan tidak mendengar apa-apa jeritan dari luar rumah.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk dibedah siasat," katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.