Mayat warga emas ditemui di halaman rumah

Bernama
Mac 9, 2019 12:18 MYT
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah serangan jantung akibat tekanan darah tinggi. - Gambar hiasan
Mayat seorang warga emas yang tinggal bersendirian ditemui di halaman rumahnya di Kampung Gong Guchil di sini.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mayat Semah Latip, 80, ditemui kira-kira 10 pagi semalam oleh anak saudaranya yang kebetulan datang menziarahinya.
Katanya, berdasarkan keadaan mayat, mangsa mungkin telah meninggal dunia empat hari lalu.
"Pada awalnya anak saudara mangsa mendapati pintu rumah mangsa tidak berkunci dan arwah tiada di dalam rumah. Susulan itu beliau meninjau di kawasan sekeliling hinggalah terjumpa mayat mangsa kira-kira tiga meter dari rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamri berkata hasil pemeriksaan polis mendapati tiada unsur jenayah di kawasan tersebut dan rumah mangsa juga tidak berselerak serta tiada barang hilang.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah serangan jantung akibat tekanan darah tinggi.
-- BERNAMA
#Besut #hilang #jenayah #Jertih #Kuala Terengganu #mayat #meninggal dunia #polis #rumah #warga emas