Mayat warga Bangladesh ditemui dalam tangki najis

Astro Awani
Disember 10, 2015 01:09 MYT
Mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul sebelum dibuang ke lubang sedalam 5 meter di luar sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan.
Mayat warga Bangladesh ditemui di dalam lubang najis di Kampung Pelandas, Pulau Serai, Dungun kira-kira jam 10 pagi Khamis.
Mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul sebelum dibuang ke lubang sedalam 5 meter di luar sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata, kejadian disedari apabila pemilik rumah berkenaan, Roslan Mohamad, gagal menghubungi mangsa untuk kerja pemasangan paip.
Tambahnya, beliau bersama seorang pekerja kemudian mencari mangsa hanya dikenali sebagai Hussin, 43 tahun, di rumah berkenaan dan menemui kesan darah yang ditutup dengan tikar.
Menurut Ahmad Zailani, kesan seretan di atas lantai dapur membawa kepada penemuan mayat mangsa di dalam lubang najis yang ditutup dengan konkrit.
Susulan penemuan itu, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Polis sedang memburu suspek warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa dikenali sebagai Jabit.
“Kita percayailah, beliau adalah suspek utama lah kes ini. Punca kematian masih belum lagi dikenalpasti sebab belum lagi dibuat post mortem.
“Cuma terdapat kesan-kesan kecederaan di bahagian muka iaitu lebam di belah mata kanan, hidungnya senget kemungkinan patah dan ada sedikit kecederaan di tangan kanan,” jelas Ahmad Zailani.
Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikuti seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Bangladesh #Dungun #Kampung Pelandas #lubang #mayat #Najis #tangki
;