Mayat warga asing tanpa pakaian ditemui terapung di Pulau Perhentian

Bernama
Oktober 1, 2016 10:04 MYT
Menurut polis, mayat tanpa pakaian itu ditemui terlentang di atas permukaan air kira-kira pukul 6.39 petang. - Gambar fail
Mayat seorang warga asing ditemukan terapung kira-kira satu kilometer dari kawasan pantai berhampiran sebuah resot di Pulau Perhentian, Besut semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mayat tanpa pakaian itu ditemui terlentang di atas permukaan air kira-kira pukul 6.39 petang dan berkemugkinan mangsa telah berada dalam tempoh agak lama di dalam air berdasarkan keadaan badan mayat.
"Kita mendapati mayat dalam keadaan bogel dan terdapat tatu pada lengan tangan kanan mayat yang tertulis perkataan 'I love you'. Ia dipercayai mayat warga asing," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pihak polis sedang menyemak laporan mengenai orang hilang.
Kes ketika ini diklasifikasi sebagai mati mengejut. - Bernama
#Besut #mayat #Pulau Perhentian #warga asing
;