Mayat warga asing ditemukan terapung dalam tali air
Adie Sufian Zulkefli
Jun 10, 2022 20:57 MYT
Jun 10, 2022 20:57 MYT
POKOK SENA: Mayat seorang lelaki ditemukan oleh orang awam terapung di dalam tali air di Kampung Pulau Bidin di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan terdapat seorang terapung di dalam air pada pukul 3.02 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba terdapat mayat dalam keadaan tetiarap dalam air.
"Anggota kemudiannya mengangkat mangsa dari dalam air ke atas batas jalan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan penemuan mayat itu dan hasil siasatan awal dipercayai warga asing.
Polis, kata beliau, sedang mengenal pasti identiti mangsa dan mayat di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.