Mayat warga asing ditemui terapung di lombong

Nazialita Geynna Maharan
Jun 27, 2017 16:59 MYT
Pihak polis menerima panggilan sekitar 12.50 tengahari dan bergegas ke tempat kejadian. - Gambar Astro AWANI
Mayat lelaki dipercayai seorang warga asing ditemui di dalam sebuah lombong di Persiaran Jelapang Maju, di sini pada petang Selasa.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa yang dipercayai berasal dari Myanmar dan berada dalam lingkungan 30-an itu ditemui dalam jarak 10 meter dari tepi lombong.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Pegawai Bomba Kanan II, Idris Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.50 tengahari dan bergegas ke tempat kejadian.
"Kami menerima panggilan pihak polis mengatakan ada seorang mangsa terapung di dalam lombong dan segera ke lokasi.
"Setibanya di sana, pihak bomba mengambil mangsa menggunakan "gripping iron" atau besi pencengkam dan menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,"katanya.
Idris berkata operasi tamat sepenuhnya sekitar pukul 2.12 petang.
#lelaki #mangsa #mayat #persiaran jelapang maju #warga asing
;