Mayat wanita warga emas ditemui terapung
Sinar Harian
Ogos 20, 2022 12:30 MYT
Ogos 20, 2022 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pengunjung Taman Botani Perdana, Tasik Perdana dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita warga emas terapung di tasik tersebut di sini, pada Sabtu.
Pusat Gerakan Bomba (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Jalan Hang Tuan dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.39 pagi.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 9:54 pagi, pihak polis meminta bantuan mengambil dan menaikkan mayat yang berada di dalam tasik anggaran jarak tiga meter dari tebing.
"Mayat mangsa berjaya dinaikkan pada jam 10.12 pagi dan diserahkan kepada polis dan paramedik di lokasi untuk pemeriksaan," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
PGO Kuala Lumpur memaklumkan, mangsa yang berusia 68 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, punca kematian masih dalam siasatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -Sinar Harian