Mayat wanita terbakar: Teman lelaki mangsa direman seminggu

Abd Razak Mohd Ali
Jun 5, 2022 11:57 MYT
Menurut Mior Faridalathrash lelaki berusia 20 tahun itu ditahan pada Sabtu kerana kenyataan yang diberikannya sebelum ini agak mengelirukan. - Gambar fail
TAMBUN: Teman lelaki wanita yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar pada Selasa lalu, direman tujuh hari sehingga 10 Jun depan untuk membantu siasatan.

Lelaki berusia 20 tahun itu juga pernah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Rabu lalu untuk tujuan soal siasat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan pada Sabtu kerana kenyataan yang diberikannya sebelum ini agak mengelirukan.

"Kita telah tahan seorang suspek, seorang lelaki India berusia 20 tahun dan reman telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selama tujuh hari.
"Bila kita panggil itu hari, kenyataan yang dia bagi tu agak mengelirukan. Maka masih lagi dalam siasatan. Kita perlu buat siasatan lanjut sebab itu kita tahan teman lelaki kepada mangsa dalam kes ini," katanya.
BACA: Mayat wanita terbakar, batu konkrit dengan kesan darah ditemui

Beliau ditemui selepas majlis merasmikan Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City, di sini, pada Ahad.

Pada Sabtu, bedah siasat ke atas mayat wanita itu mendapati punca kematiannya adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

Pada Selasa, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

Polis turut menjumpai seketul batu konkrit dengan kesan darah berhampiran mayat, yang
dipercaya senjata digunakan untuk mencederakan kepala si mati.
#mayat dibakar #teman lelaki #Mior Faridalathrash Wahid #Kuala Kangsar
;