Mayat wanita terbakar, batu konkrit dengan kesan darah ditemui
Abd Razak Mohd Ali
Jun 1, 2022 15:52 MYT
Jun 1, 2022 15:52 MYT
KUALA KANGSAR: Polis menjumpai seketul batu konkrit dengan kesan darah berhampiran mayat seorang wanita tanpa identiti yang ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, di sini pada petang Selasa.
Polis percaya ia adalah senjata yang digunakan untuk mencederakan kepala si mati.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, terdapat satu kesan luka pada bahagian atas kepala sebelah kanan.
“Pakar dental akan membuat pemeriksaan pergigian, tetapi hasil analisis oleh pakar dental ini memerlukan perbandingan dengan rekod pergigian seseorang.
“Manakala keputusan cap jari akan dapat segera dalam masa yang terdekat ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan penelitian awal, pihak polis percaya mangsa dibunuh dan dibakar dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam sebelum mayat dijumpai.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, pada petang Selasa.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 3.05 petang oleh orang awam.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.
Katanya, daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai seorang wanita berbangsa India. Bagaimanapun identiti sebenar mangsa belum dikenal pasti.