Mayat wanita separuh bogel ditemukan terapung di Pulau Perhentian

Nur Fazlizai Ali
Januari 19, 2023 16:52 MYT
Siasatan awal tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa. - Ihsan pembaca
KUALA BESUT: Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemukan terapung diperairan Pulau Perhentian, Besut pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Dsp Azrol Anuar Nor berkata, mayat berkenaan dikesan kira-kira jam 11.30 pagi oleh seorag pemancing sekitar jarak 11 kilometer dari pulau berkenaan.
Beliau berkata bagaimanapun usaha untuk ke lokasi kejadian terpaksa ditangguhkan pada hari berkenaan, memandangkan keadaan laut bergelora dan angin kencang.
"Susulan penemuan itu pemancing terbabit bertindak menarik mayat tersebut dan mengikat di tali unjang bagi mengelakkan di hanyutkan arus seterusnya memaklumkan kepada Balai Polis Pulau Perhentian.
"Memandangkan cuaca buruk, pihak polis hanya dapat ke lokasi kejadian pada Khamis dan menemui mayat wanita itu masih terapung berdekatan kawasan unjang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti warganegara atau identiti mayat wanita berkenaan.
Jelasnya siasatan awal tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
#mayat wanita #Pulau Perhentian #separuh bogel #Besut
;