Mayat wanita mangsa serangan buaya ditemui dengan tangan putus

Mohd Nazrin Hamdan
Mac 17, 2022 23:23 MYT
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis, untuk tindakan selanjutnya. - Gambar/ JBPM
MIRI: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan putus sebelah tangan selepas dibaham buaya di Sungai Telong, Suai dekat sini pada Khamis.
Mayat Demit Chagai, 43, dari Rumah Florence, Suai ditemui sekitar jam 1.30 tengah hari tadi, oleh penduduk kampung yang terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
Pada Rabu, mangsa sedang menangkap ikan bersama kedua-dua ibu dan bapanya, sebelum disambar dan diheret buaya di sungai berkenaan.
Sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12 tengah hari, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah telah diatur gerak ke lokasi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, gerakan SAR kemudian segera diaktifkan sejurus pasukan terbabit tiba di lokasi.
"Selain penduduk kampung, turut terlibat dalam mencari mangsa dan memburu reptilia terbabit ialah pihak polis, termasuk Polis Marin selain Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak.
"Pasukan SAR mengalami kesukaran untuk pergi jauh ke hulu dan ke hilir disebabkan keadaan air yang cetek.
"Mujur pada jam 1.30 tengah hari, kampung yang turut serta dalam SAR menjumpai mangsa di kawasan Sungai Telong Merah.
"Jarak mangsa dijumpai dari tempat kejadian dianggarkan sekitar 300 meter ke hulu," katanya di sini pada Khamis.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis, untuk tindakan selanjutnya.
#Sarawak #buaya #Miri #suai
;