Mayat wanita ditemukan terapung di lombong
Aida Aziz
November 16, 2024 11:00 MYT
November 16, 2024 11:00 MYT
TAIPING: Mayat seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung dekat lombong Tekah Permai, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan dari polis bagi membantu mengambil mayat tersebut pada 9.13 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dengan kekuatan seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
"Bomba menerima panggilan dari pihak polis untuk membantu mengambil mayat yang terapung di tebing lombong.
"Didapati mangsa adalah seorang wanita dewasa dan identitinya tidak dapat dikenal pasti.
"Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya anggota membuat kerja menyelamat menggunakan ‘ceiling hook’ untuk menarik mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.