Mayat wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air
Sinar Harian
Disember 4, 2023 18:50 MYT
Disember 4, 2023 18:50 MYT
KLANG: Penduduk sekitar Kampung Pendamar, Pandamaran dekat sini gempar apabila mayat seorang wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air di sebuah rumah sewa dekat sini pada Ahad.
Seorang individu yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui berkaitan penemuan mayat berkenaan selepas melihat kehadiran anggota polis dan bomba di hadapan rumah terbabit.
"Lebih kurang jam 9.30 malam saya melihat ramai anggota polis dan bomba di sekitar lokasi kejadian.
"Mereka juga dilihat membawa keluar beberapa gumpalan tanah liat serta satu bungkusan dipercayai mayat wanita berkenaan," katanya pada Isnin
Dia yang tinggal lebih 30 tahun berdekatan rumah berkenaan berkata, mayat terbabit dipercayai disimen di dalam bilik air.
"Saya difahamkan bahawa bomba membantu untuk memecahkan simen bagi mengeluarkan mayat itu.
"Kawasan yang disimen itu adalah kolah di dalam bilik air rumah terbabit, namun penyewa sebelum ini mendakwa kolah berkenaan sering bocor," katanya.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar lokasi kejadian mendapati suasana lengang dan penduduk sekitar rata-ratanya terkejut dengan kejadian terbabit.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kawasan ini belum pernah berlaku kejadian seumpama itu.
"Di kawasan ini ada warga asing yang menyewa, namun bilangannya tak ramai dan mereka tak pernah timbulkan sebarang masalah sebelum ini.
"Terkejut juga bila dengar ada kejadian macam ini, harap pihak polis dapat tangkap segera pelaku yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Mayat mangsa yang kita percaya merupakan wanita warga asing itu kini dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua lelaki warga asing untuk siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit. - Sinar Harian