Mayat wanita ditemui di dalam semak di Marang

Nur Fazlizai Ali
Januari 19, 2023 09:59 MYT
Mayat yang lengkap berpakaian itu dijumpai orang awam yang mencari daun palas di kawasan berkenaan. - Foto PDRM
MARANG: Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.30 petang tadi berhubung penemuan mayat yang dianggarkan berusia antara 20-an hingga 30-an.
Katanya mayat yang lengkap berpakaian itu dijumpai orang awam yang mencari daun palas di kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan awal pihak polis tidak menemukan sebarang kesan jenayah pada mangsa.
"Selain itu barang perhiasan seperti cincin dan rantai leher masih berada di leher dan tangan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah empat hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat," katanya.
Katanya lagi, setakat ini tiada petunjuk 
bagi mengesahkan sama ada mangsa telah dibunuh dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Justeru itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dengan segera di talian 09-6182222.
#mayat wanita #Marang #mayat dalam semak #kematian mengejut