Mayat wanita ditemui dalam parit kebun sawit

Abd Azharee Abdul Wahid
Februari 26, 2020 23:27 MYT
Mayat seorang wanita ditemui dalam parit di sebuah kebun sawit di Kampung Arang, Lorong Kijang 1, Inderasabah, Tawau pada Selasa.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Maria Abdullah, 23 tahun, seorang warganegara Filipina dipercayai meninggalkan rumah sejak 22 Februari lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya ditemui orang awam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berdasarkan keadaan mayat yang sudah hancur dan mula berulat, mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa hari yang lalu di lokasi sejauh 200 meter dari kawasan penempatan pekerja sawit.
Pemeriksaan awal ke atas mayat tersebut tidak menjumpai kesan perbuatan jenayah pada mangsa dan mayat kemudiannya dihantar ke rumah mayat Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.
Pihak polis juga memeriksa kediaman mangsa dan tidak menjumpai kesan pergelutan kerana keadaan rumah mangsa dalam keadaan kemas dan teratur.
Polis kini sedang menjejaki suami mangsa yang dikatakan keluar mencari mangsa sejak 22 Februari lalu dan tidak dapat dihubungi sehingga kini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan.
#Hospital Tawau #Inderasabah #Kampung Arang #Maria Abdullah #mayat ditemui dalam parit #mayat wanita #Polis Daerah Tawau #Tawau #warganegara Filipina
;