Mayat wanita ditemui dalam longkang, dipercayai kes bunuh
Bernama
Februari 28, 2019 04:54 MYT
Februari 28, 2019 04:54 MYT
Mayat seorang wanita tanpa identiti yang dipercayai mati dibunuh ditemui di dalam longkang di Jalan Besar Behrang Ulu ke Proton City di sini oleh orang awam pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mayat wanita yang dipercayai berusia lingkungan 16 hingga 30-an itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan, yang kemudiannya menghubungi pihak polis pada pukul 4.32 petang.
"Setiba di lokasi, kita dapati mayat itu dalam keadaan tertiarap, lengkap dengan blaus berwarna merah serta berseluar panjang, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
"Kita percaya wanita itu mati lebih dari 10 hari lepas, kerana keadaan mayatnya yang sudah pun reput," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Khamis.
Menurutnya polis turut menemui sebotol clorox berdekatan mayat, dan botol itu telah diambil bagi tujuan forensik.
"Mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma objek tumpul," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai anggota keluarga yang hilang supaya menghubungi polis untuk membuat pengecaman.
-- BERNAMA
#bunuh
#clorox
#dokumen pengenalan diri
#Jalan Besar Behrang Ulu
#longkang
#mati dibunuh
#mayat
#mayat reput
#Proton City
#tertiarap
#trauma objek tumpul
#Wan Kamarul Azran Wan Yusof
#wanita