Mayat wanita ditemui bersama bayi baru lahir dalam pondok

Aida Aziz
Oktober 12, 2020 17:17 MYT
Polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu yang tubuhnya ditutup dengan selimut pada jam 6.30 petang. -Astro AWANI
BATU GAJAH: Mayat wanita Indonesia ditemui bersama bayi lelaki baru lahir yang masih bernyawa di sisinya di sebuah pondok dalam kebun sawit di Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing dekat sini, petang semalam.
Wanita itu yang dikenali sebagai Yanti Abas, 35, dipercayai meninggal dunia akibat komplikasi ketika melahirkan bayi berkenaan di pondok tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, wanita itu dipercayai telah meninggal dunia lima jam sebelum kejadian itu dilaporkan.
Katanya, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu yang tubuhnya ditutup dengan selimut pada jam 6.30 petang.
"Polis tiba kira-kira jam 6.45 petang dan mendapati terdapat seorang bayi lelaki masih hidup di sisi wanita berkenaan di atas pangkin pondok berkenaan.
"Kita juga mendapati mayat wanita itu ditutup dengan sehelai kain, manakala bayi itu pula telah dipotong tali pusat dan uri.
"Jadi kita percaya, ada orang lain bersama wanita berkenaan ketika kelahiran bayi. Bagaimanapun siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, tiada saksi ditemui ketika polis tiba di lokasi berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, identiti wanita itu dikenal pasti melalui salinan dokumen surat nikah Indonesia yang ditemui di pondok berkenaan.
"Bayi itu dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut. Kedutaan Indonesia dan Interpol turut dimaklumkan mengenai kematian mangsa.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suami atau waris mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainon untuk bedah siasat," katanya.
#wanita maut melahirkan #wanita #bayi baru lahir #maut #meninggal dunia #ladang sawit #pondok #wanita indonesia
;