Mayat wanita dalam semak: Pesara direman keluarga terdekat mangsa - Polis

Nur Fazlizai Ali
Januari 26, 2023 15:53 MYT
Seorang pesara direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita di kawasan semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai di Marang, Khamis lepas. - Foto BERNAMA
MARANG: Pesara yang ditahan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran di dalam semak adalah ahli keluarga terdekat mangsa.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata suspek yang berusia 59 tahun itu merupakan individu terakhir bersama mangsa yang dilihat oleh orang awam.
Katanya hasil siasatan juga mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur sebelum suspek mengambilnya di Kampung Rhu Rengeh, Marang pada 16 Januari lalu.
“Maka ekoran daripada itu polis telah mengekori suspek dan berjaya menangkap dan mengesan beliau di kawasan Jeli, Kelantan.
“Dengan tertangkapnya suspek tersebut polis percaya berjaya menyelesaikan kes ini dan sekarang ini kita dalam proses untuk mengumpulkan bukti untuk mengheret suspek ke muka pengadilan,” katanya di sini hari ini.
Jenayah | Suspek kes mayat wanita dalam semak direman 7 hari
Katanya lagi, mangsa yang juga merupakan ibu tunggal berusia 57 tahun sebelum itu dikatakan pergi ke ibu negara untuk mencari kerja namun telah ditipu.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah meninggal dunia di lokasi lain lebih 36 jam sebelum mayatnya ditemui di dalam semak tersebut.
Mohd Zain berkata siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk motif kejadian berkenaan.
Penemuan Mayat | Mayat wanita ditemui dalam semak
Terdahulu media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa identiti di dalam semak di Kampung Alor Gali, Marang, pada Khamis lepas.
Polis kemudiannya mengenal pasti identiti mayat berkenaan sebagai Zarina Mukhtar, 57, berdasarkan kepada padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara.
#bunuh Marang #mayat dalam semak #pesara direman #Zarina Mukhtar
;