Mayat wanita berusia lebih seabad ditemui terapung

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
Julai 17, 2020 17:45 MYT
Walaupun wanita itu berusia lebih seabad dia masih sihat dengan hanya mengalami masalah nyanyuk. -Astro AWANI
Misteri kehilangan wanita warga emas berusia 102 tahun di rumahnya di perkampungan atas air Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau, awal pagi Jumaat terjawab apabila dia ditemui lemas.
Mayat Marwiyah Sakke ditemui terapung di kawasan itu kira-kira jam 6 pagi oleh penduduk kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan kejadian ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati cucu wanita itu yang berusia 36 tahun menyedari kehilangan neneknya pada jam 2 pagi.
"Cucunya kemudian mendapati tingkap bilik wanita itu terbuka dan dia tiada di dalam rumah berkenaan.
"Usaha mencari dilakukan keluarga dan penduduk sebelum mayatnya ditemui terapung di laut tidak jauh dari rumahnya," katanya.
Katanya, berikutan itu, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) turut hadir di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan awal sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.
Difahamkan, walaupun wanita itu berusia lebih seabad dia masih sihat dengan hanya mengalami masalah nyanyuk.
#air #Hospital #keluarga #Kementerian Kesihatan #KKM #lemas #mayat #polis #rumah #seabad #Tawau #wanita
;