Mayat wanita baharu sebulan berkahwin ditemukan terapung di tasik

Noraniza Kamsani
Februari 1, 2019 17:49 MYT
Mangsa Sharifah Abdullah, 24, ditemui oleh orang awam yang beriadah di tasik tersebut pada pukul 7.20 pagi Jumaat. - Foto Bernama
Seorang wanita yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Indera Mahkota di sini sejak semalam ditemui lemas di Tasik Taman Bandar, pagi tadi.
Jenazah Sharifah Abdullah, 25, yang baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu ditemui pada jam 7 pagi oleh orang ramai yang sedang melakukan aktiviti rekreasi di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya pada jam 5 petang semalam sebelum dilaporkan tidak pulang.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 7.23 pagi menyatakan terdapat mayat terapung di kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.
"Pemeriksaan ke atas badan mangsa tidak menjumpai kesan atau tanda berunsurkan jenayah dan mayat dibawa ke bahagian Forensik Hopsital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui selipar dan telefon milik mangsa yang diletakkan di tepi tasik berkenaan malah hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas.
"Mengikut keterangan suami mangsa, mereka baru mendirikan rumah tangga sejak sebulan lalu dan memaklumkan isterinya mengalami kemurungan disebabkan kemalangan sejak tiga tahun lalu," katanya.
Menurut beliau, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
#bomba #hamil #hilang #Hospital #jenayah #Kuantan #lemas #mangsa #mati #mayat #mengandung #polis #wanita
;