Mayat tinggal rangka ditemui di Pantai Kemayan, Bachok

Vivi Sumanti
Februari 19, 2021 21:25 MYT
Polis berkata, mayat berkenaan ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. - Foto PDRM
BACHOK: Mayat yang hanya tinggal rangka dengan memakai seluar pendek berwarna gelap ditemukan di pesisir Pantai Kemayan, di sini petang tadi.
Mayat yang tidak diketahui jantina itu ditemukan oleh orang awam sekitar jam 5 petang Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mayat berkenaan ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang menyukarkan untuk mengenal pasti jantina, umur serta bangsa.
"Keadaan mayat telah reput sepenuhnya, dengan anggaran kematian lebih daripada 10 hari dan pihak polis tidak menemui sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah," katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat.
Mohd Yusrizal turut memohon kepada orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk maklumat lanjut.
Pihaknya juga masih menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat berkenaan.
Pada 14 Februari lepas, pihak polis turut menemui mayat reput terdampar di pesisir Pantai Kuala Kandis di sini yang dipercayai sudah 10 hari meninggal dunia.
Mayat tanpa identiti itu ditemui sejauh 20 meter dari gigi air oleh orang awam yang kebetulan berjalan-jalan di sekitar lokasi tersebut.
#mayat reput #Pantai Kemayan #Polis Daerah Bachok #Hospital Raja Perempuan Zainab #rangka
;