Mayat tiga lagi mangsa gempa bumi Ranau dituntut keluarga
Bernama
Jun 8, 2015 15:08 MYT
Jun 8, 2015 15:08 MYT
Mayat tiga lagi mangsa gempa bumi di Ranau pada Jumaat lepas, dituntut anggota keluarga masing-masing setakat pukul 2 petang hari ini, kata Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Siti Norhaini Osli.
Beliau berkata tiga mayat itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Unit Forensik Patologi Hospital Queen Elizabeth (QEH) semalam dikenal pasti sebagai Loqman Abdul Karim dari Melaka, Lim Choon Seong dari Pulau Pinang dan Joseph Solungin dari Ranau.
"Anggota keluarga ketiga-tiga mangsa telah datang untuk proses pengecaman mayat dan dokumentasi," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata jenazah Loqman dan mayat Lim masing-masing akan diterbangkan ke Melaka dan Pulau Pinang hari ini manakala mayat Joseph juga akan akan dibawa balik ke Ranau hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di QEH mendapati wakil keluarga mangsa gempa bumi warga Jepun, Ozaki Masahiro, 29, dilihat berada di hospital itu untuk proses pengecaman mayat dan dokumentasi bagi menuntut mayat Ozaki.
Setakat pukul 2 petang ini, 11 mayat termasuk lapan warga Singapura telah dituntut.
Setakat semalam, tragedi itu juga telah meragut 16 nyawa, termasuk lapan warga Singapura yang mendaki Gunung Kinabalu. Dua lagi mangsa masih hilang.