Mayat terbakar: Pemandu lori didakwa bunuh Che Janiah

Astro Awani
Mei 11, 2021 13:54 MYT
Pemandu lori Badrul Hisham Mat Jusoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sebuah jalan di sini dengan kesan terbakar pada keseluruhan badan. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan terbakar pada 17 April lalu.
Tertuduh, Badrul Hisham Mat Jusoh, 37, dari Bukit Payong, Marang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Che Janiah Jaafar, 55, di kilometer 16, Jalan Kelantan, Kampung Padang Air.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 malam hingga 7.15 pagi pada 16 dan 17 April lalu.
BACA: Polis kenal pasti identiti mayat ditemui rentung terbakar tepi jalan
BACA: Naluri anak yakin mayat terbakar adalah jasad ibu
Mahkamah | Pemandu lori didakwa bunuh dengan bakar wanita
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air 17 April lalu.
Kejadian disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan kira-kira 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran dan menemui mayat mangsa.
#mayat rentung #pemandu lori #Che Janiah Jaafar #Badrul Hisham Mat Jusoh #Kuala Terengganu #Mahkamah Majistret #tuduhan bunuh #mati #wanita #wanita rentung
;