Mayat terakhir tragedi bot karam di perairan Batu Payung ditemui

Astro Awani
Januari 3, 2022 15:50 MYT
Komander Amiludin Yenggah berkata, mayat Rahena ditemukan pihaknya dalam keadaan tertiarap dan terapung.
TAWAU: Mayat terakhir melibatkan mangsa tragedi perahu karam di perairan Batu Payung, Rahena Muhaimin, 20, ditemukan di selatan perairan Membalua di sini, jam 8.37 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Amiludin Yenggah berkata, mayat Rahena ditemukan pihaknya dalam keadaan tertiarap dan terapung.
"Identiti Rahena kemudian disahkan sendiri oleh ibu dan bapa mangsa. Semalam penduduk kampung menemukan mayat dua adik Rahena iaitu Saiful, 15, di laut serta Jaidi, 5, yang terdampar di pesisir pantai Batu Payung," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Korban perahu karam di perairan Batu Payung Sabtu lalu (1 Januari 2021) membabitkan tiga beradik manakala enam lagi termasuk tiga lagi adik-beradik mangsa yang menaiki bot sama, terselamat.
Semasa kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, perahu dinaiki sembilan individu termasuk enam beradik berkenaan terbalik setelah dipukul ombak besar.
Dengan penemuan mayat ketiga dan terakhir itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Agensi Pertahanan Awam selain penduduk kampung ditamatkan pada 10 pagi ini.
BACA: Bot karam: Dua beradik ditemui lemas, kakak masih hilang
"Operasi pencarian ini turut mendapat bantuan Badan SAR Nasional (Basarnas) serta tentera laut dari Indonesia yang membantu meninjau jika ada mangsa perahu karam ini berada di sempadan perairan negara itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata saringan awal COVID-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap dua mangsa lemas iaitu Saiful dan Jaidi semalam didapati positif.
"Namun KKM akan menjalankan saringan kedua, begitu juga ujian saringan akan dijalankan terhadap mayat mangsa terakhir.
‘’Sehubungan itu, saya menasihatkan keluarga mangsa atau individu rapat melakukan kuarantin kendiri, sekiranya terdapat simptom COVID-19 hendaklah segera merujuk ke klinik kesihatan berhampiran," katanya.
#perahu karam #tiga beradik #positif COVID-19 #perairan Batu Payung
;