Mayat terakhir mangsa lemas Teluk Bidara ditemui

Nur Fazlizai Ali
Januari 19, 2020 16:08 MYT
Mayat terakhir Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee ditemukan terapung kira-kira 3 petang tadi kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara hari ini. - Foto BERNAMA
Mayat mangsa lemas terakhir pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun di sini yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui petang ini.
Mangsa, Mohamad Amir Izuddin Zulkiflee, 21, ditemui terapung kira-kira jam 3 petang tadi.
Mayat pelajar yang berasal dari Melaka itu dikesan terapung sekitar jarak dua batu nautika dari muara Kuala Dungun.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penemuan itu.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Terdahulu mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, yang berasal dari Kemaman ditemui terdampar kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa di laporkan hilang sekitar jam 7.30 pagi.
Manakala mayat kedua, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, ditemui terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa pertama ditemui pada jam 11.35 pagi.
Ini disusuli mayat Muhamad Luqman Al Rashid Mohamed, 21, yang juga dikesan terapung pada jam 12.17 tengah hari tadi.
Pada Jumaat kegembiraan enam elajar politeknik itu bertukar tragedi selepas empat daripada mereka dilaporkan hilang di Pantai Teluk Bidara di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Jumaat itu mangsa, Mohamad Zul Fahmi Zuki, Mohamad Amir, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan lemas selepas dipukul ombak besar.
#lemas #mangsa #mayat #mayat terapung #Mohamad Amir Izuddin Zulkifle #pelajar #Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin #Teluk Bidara
;