Mayat tentera lemas ketika latihan di Bera ditemui

Mohd Zalani Md Atan
September 1, 2021 04:18 MYT
Seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, nelayan dan unit amal terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. - Foto JBPM Pahang
BERA: Mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dilaporkan lemas ketika menjalani latihan taktikal Eksesais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera, dijumpai di Sungai Pahang kira-kira jam 7.55 pagi ini.
Mayat mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, timbul di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohamad Azrin dijumpai bot orang awam yang terlibat dalam operasi mencari mangsa yang masuk hari keempat, hari ini.
Terdahulu, seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan dan unit amal terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, melibatkan 30 buah bot.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
BACA: TDM sahkan anggota dikhuatiri lemas ketika latihan di Bera
Ahad lalu, Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan ketika menjalani latihan.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.
Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.
#jatuh dalam sungai #Mohamad Azrin Mat Isa #mayat tentera dijumpai #Sungai Pahang #lemas ketika latihan