Mayat tanpa kepala ditemukan di Pulau Kapas

Nur Fazlizai Ali
November 19, 2017 20:43 MYT
Mayat tanpa kepada ditemui terapung di 11 batu nautika dari Pulau Kapas pada Ahad.
Mayat tanpa kepala ditemui terapung kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang pada Ahad.
Mayat dipercayai lelaki tanpa pakaian itu dijumpai kira-kira pukul 3.30 petang tadi oleh nelayan tempatan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata sejurus menerima laporan sebuah bot bersama lima kekuatan dikejarkan ke lokasi kejadian.
BACA: Mayat lelaki ditemui terapung di Pulau Kapas
Menurut Rahim pihaknya percaya mangsa telah mati lebih dari lima hari berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput dan sebahagian anggota badan telah tiada.
"Tiada sebarang identiti ditemui bersama mangsa dan keadaan mayat juga separuh reput, tidak berkepala dan sebahagian kaki telah tiada.
"Mayat berkenaan dibawa ke Pangkalan Maritim Pulau Kambing kira-kira pukul 6.45 petang tadi," katanya.
Rahim berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan milik nelayan tempatan mahupun kapal dagang namun siasatan lanjut masih dilakukan.
Jelasnya mayat itu diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.
Sementara itu Rahim juga mengingatkan para nelayan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sepanjang melakukan aktiviti di laut walaupun tidak selesa.
Semalam mayat seorang lelaki tanpa identiti turut ditemui terapung kira-kira 4.6 batu nautika dari Pulau Kapas.
#bot #Kepten Maritim Rahim Ramli #keselamatan #lelaki #mangsa #Marang #Maritim Malaysia #mati #mayat #Mayat tanpa kepala #nelayan #polis #Pulau Kapas #siasatan #terengganu
;