Mayat tanpa identiti, bertatu ditemui terapung di Tasik Bukit Merah

Aida Aziz
Mei 5, 2023 07:00 MYT
Mohd Yusri berkata, lelaki yang bangsanya belum dapat dipastikan itu dijumpai di Tasik Bukit Merah dalam keadaan tertiarap dan mayat menggelembung serta mereput. - Gambar fail
SEMANGGOL: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di Tasik Bukit Merah, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada jam 3.30 petang.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mayat tersebut mempunyai tatu di lengan kanan, bahu kanan dan kiri dan terdapat tulisan 'ushra' di lengan kanannya.
"Polis Daerah Kerian telah menerima satu panggilan telefon memaklumkan terdapat penemuan satu mayat terapung di dalam tasik Bukit Merah.
"Bertindak atas maklumat tersebut pihak polis dengan dibantu Bomba Daerah Kerian telah bergegas ke tempat kejadian.
"Didapati seorang lelaki bangsanya tidak pasti telah dijumpai meninggal dunia di tasik tersebut dalam keadaan tertiarap dan mayat menggelembung serta mereput," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, katanya hasil siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian mendapati tiada unsur jenayah di tempat kejadian dan mayat akan dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Parit Buntar.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan IPD kerian di talian 05-7212222.
#Mohd Yusri Hassan Basri #mayat terapung #Tasik Bukit Merah #mayat bertatu
;