Mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang
Adie Sufian Zulkefli
Mei 6, 2023 00:04 MYT
Mei 6, 2023 00:04 MYT
SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita yang sudah membusuk ditemukan di dalam longkang di belakang sebuah rumah di Taman Perpaduan, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata polis menerima laporan kira-kira 5.47 petang oleh orang awam.
“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan menemui mayat hanya memakai baju kelawar tanpa pakaian dalam.
“Hasil siasatan awal, menurut seorang saksi, dia terbau bau busuk dari belakang rumah. Sangkaan bau itu datang dari dalam tandas, dia mencuci tandas, namun bau busuk itu masih ada.
“Bagi memeriksa lebih lanjut, saksi terbabit membuka pintu belakang untuk memeriksa dan menemui mayat seorang wanita di dalam longkang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita terbabit telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat.
Katanya, sesiapa yang menyaksikan atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil dan membuat laporan di balai polis terdekat.
Jelas Zaidy, buat masa ini polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum mendapat keputusan hasil bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.