Mayat seorang daripada dua nelayan terlibat bot karam ditemukan
Bernama
Mei 27, 2017 20:54 MYT
Mei 27, 2017 20:54 MYT
Seorang daripada dua nelayan yang hilang dalam dua kejadian bot terbalik dan karam di perairan Rambah dan Pontian, dekat sini, semalam, dijumpai mati lemas hari ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah APMM Daerah Johor Bahru, Kapten Maritim Syed Nur Adli Ab Rahman berkata mayat Muhammad Atif Hafifi Abd Manaf, 28, ditemukan pada 8.35 pagi oleh pasukan penyelamat di kedudukan satu batu nautika dari pantai Rambah.
Usaha sedang giat dijalankan untuk mencari seorang lagi nelayan yang hilang dalam kejadian itu dikenali sebagai Amy berusia 20 tahun, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anggota dan aset milik APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan nelayan tempatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
Dalam kejadian itu, bot dinaiki Muhammad Atif dan Amy bersama-sama rakan masing-masing telah dibadai angin dan ribut kuat menyebabkannya terbalik dan karam di barat Sungai Rambah, Pontian dan barat Sungai Pontian Kechil.
Seorang rakan Muhammad Atif sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai manakala tiga kru yang bersama-sama Amy pula diselamatkan bot nelayan yang berada di kawasan terbabit.
-- BERNAMA